12 January 2013

Racun Halimunan di Pejabat

Oleh : Dr Mohd Hasni Jaafar

Ramai menyangka pejabat dan tempat kerja terlepas daripada unsur-unsur kimia beracun. Pasti ada kalangan pembaca pernah mendengar isu ini, tetapi kesibukan harian membataskan usaha mendapatkan maklumat lebih lanjut. Ada beranggapan isu kesihatan di pejabat menjadi tanggungjawab pihak majikan. Namun bagaimana jika majikan juga tidak tahu mengenainya?

Semua individu seharusnya mempunyai keinginan memahami lebih lanjut mengenai racun yang berada di sekeliling. Pasti kita berterima kasih kepada majikan yang menyediakan kelengkapan bagi membantu kekemasan bekerja setiap hari. Namun ramai tidak sedar peralatan dipegang dan sentuh sebenarnya mengeluarkan bahan perosak halimunan yang membahayakan kesihatan.

Semua perabot kayu menjalani proses kimia bagi tujuan awetan. Salah satunya adalah pentaklorofenol(PCP). Ia berfungsi agar kayu tahan rumpai, serangga dan perubahan iklim. Ia adalah sejenis racun perosak organoklorin yang diharamkan penggunaannya di seluruh dunia. Namun terdapat penggunaan terhad untuk rawatan kayu seperti di Amerika Syarikat. Malaysia antara sebuah negara memproses kayu yang terbesar di rantau ini. Walaupun laporan Agensi Perlindungan Persekitaran Sweden (2009) menyatakan penggunaan bahan ini telah dihentikan di kebanyakan negara seperti Chile(1998), Brazil(2007) dan Malaysia pada 1999, namun penggunaan secara haram masih berlaku. Pereputan yang cepat merugikan pengeluar kerana pengguna boleh menuntut jika produk dibeli rosak atau tidak mengikut piawaian. Dalam keadaan humiditi tinggi di negara ini, PCP mencegah kayu dan perabot berkenaan reput dan ditumbuhi rumpai.

Bahan PCP berpotensi menghasilkan gas dioksin, bahan kimia merbahaya yang pernah dikaji oleh manusia. Ia adalah sebahagian daripada bahan pencemar organik yang kekal dan boleh bertahan lama dalam badan manusia. Ia memasuki tubuh melalui pernafasan dan sentuhan kulit tanpa disedari. Risiko tindak balas badan dengan dioksin adalah kanser ginekologi, meracuni sistem peranakan dan tumbesaran bayi, mengganggu sistem hormon, endokrin dan hermatologi, serta kesuburan.

Bukan setakat PCP, industri perkayuan juga menggunakan bahan awetan lain yang lebih murah seperti formaldehid. Ia bahan kimia untuk mengawet mayat dan pernah didakwa digunakan secara meluas dalam industri daging dan ikan import dari negara jiran.

Hidung manusia dianugerahkan Allah SWT tahap deria yang amat sensitif terhadap bahan ini walaupun kepekatannya hanya pada 1ppm(bahagian per juta) dalam udara. Individu yang terdedah kepada formaldehid akan berasa pedih hidung dan mata terutama apabila mula memasuki pejabat. Tindak balas lebih teruk seperti pedih tekak, batuk dan berasa loya. Penghidap asma akan mendapat kesan lebih buruk, kerap cuti sakit dan masuk hospital. Ini menjejaskan produktiviti syarikat atau organisasi.

Keadaan pejabat atau bilik mesyuarat yang tertutup tanpa ventilasi yang baik menyebabkan kepekatan formaldehid lebih tinggi. Kesan lebih tinggi sekiranya terdapat perabot yang dibuat daripada bahan plywood. Gam daripada bahan plywood memberi tindak balas formaldehid yang lebih cepat. Ia telah dikenal pasti sebagai penyebab utama kanser hidung, tekak dan leukemia oleh Agensi Penyelidikan Kanser Amerika Syarikat.

Senario biasa berlaku sebelum cuti hujung minggu, pekerja terakhir keluar pejabat akan pastikan semua tingkap dan pintu tertutup rapat bagi mengelakkan hujan mahupun pencuri. Ketiadaan peredaran udara selama satu atau dua hari menyebabkan udara terperangkap dan mengumpulkan semula bahan kimia tersebut pada setiap saat. Pagi Isnin, perkerja pertama membuka pintu pejabat akan mengalami dedahan dengan dos yang tinggi.

Kepekatan bahan akan berkurangan setelah beberapa bulan meruap ke udara. Namun dedahan pernafasan telah berlaku dan tindak balas dalam badan mungkin tercetus. Kesan kesihatan kepada penghidu tidak berlaku serta-merta. Kemudaratan mengambil masa yang panjang. Individu yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti paru-paru, hati dan ginjal, akan mengalami tindak balas kesihatan berpanjangkan dan klimaks kemerosotan akan berlaku pada hari tua.

Kesedaran hal ini amat penting. Semua individu perlu mengambil langkah proaktif. Menjadikan risiko sifar adalah hampir mustahil kerana peralatan tersebut masih diperlukan untuk tugasan harian. Bagaimanapun, ada beberapa langkah boleh diambil. Pertama, sentiasa pentingkan kualiti perabot yang ingin disewa atau dibeli. Perabot murah dan kurang kualiti daripada serpihan kayu dan kelompok plywood selalunya mengandungi kepekatan bahan kimia lebih tinggi daripada kayu padu.Pilih perabot daripada kayu padu walaupun harganya agak tinggi.

Perabot yang lama siap mengandungi bahan kimia lebih rendah berbanding perabot baru dari kilang yang telah menjalani proses pemeruapan semulajadi. Proses itu menyebabkan kepekatan bahan merbahaya berkurangan. Oleh itu, jangan malu membeli stok lama kerana risiko kesihatan turut berkurangan.

Apabila bermulanya hari bekerja selepas cuti hujung minggu atau cuti umum, perkerja pertama perlu membuka pintu utama seluas-luasnya dan terus membuka tingkap agar semua bahan kimia terkumpul keluar. Elakkan bernafas di ruang udara belum mengalir. Hidupkan sistem penghawa dingin segera agar ruapan bahan kimia segera disedut keluar. Pengudaraan yang efektif dan berkesan adalah kaedah amat berguna.

Fenomena ini tidak terhad di pejabat sahaja. Ia turut berlaku di rumah, hotel dan kenderaan. Oleh itu, sentiasa awasi serta elakkan anak-anak, orang tua dan mereka berisiko supaya tidak terdedah kepada bahan kimia ini.

Kesihatan diri dan orang disayangi terletak di tangan kita. Mereka yang telah menerima simptom kehadiran bahan ini perlu segera mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang wajar serta efektif. Jangan biarkan kehidupan kita dirosakkan oleh bahan halimunan ini.

No comments:

Post a Comment