19 January 2013

Kenderaan Diesel Generasi Baru Alternatif Kepada Masyarakat

Enjin diesel beroperasi menggunakan sumber pembakaran daripada bahan berasaskan tumbuhan dan sayuran. Perkataan 'diesel' diambil sempena nama penciptanya Dr. Rudolf Diesel. Ia menggunakan udara termampat bertekanan tinggi untuk membakar bahan api. Campuran udara termampat dan bahan api disuntik ke dalam kebuk kebakaran semasa penghujung lejang mampatan(compression stroke). Ia berbeza dengan enjin pembakaran petrol, yang dinyalakan oleh palam pencucuh.

Bagaimana ia berfungsi?
Udara dimampatkan dengan nisbah mampatan antara 15:1 ~ 22:1. Mampatan yang tinggi meningkatkan suhu udara ke 532 'C. Pada suhu tersebut, udara dalam kebuk pembakaran membakar bahan api yang disuntik. Ia akan menolak omboh dan menghasilkan kuasa kepada enjin. Proses yang berurutan menghasilkan pacuan padu kepada aci utama yang berputar. Walaupun putaran dihasilkan tidak selaju enjin petrol, namun kelebihan utama sistem ini adalah banjaran kuasa yang sangat tinggi. Tidak hairanlah ia dimanfaat oleh kenderaan berat dan jentera.

Manfaat
Enjin diesel menjimatkan penggunaan bahan api. Ia tahan serta mempunyai jangka hayat lebih panjang. Kos penyelenggaraan rendah disebabkan sistem operasi yang ringkas dan tidak kompleks. Sistem pembakaran udara mengurang penghasilan karbon monoksida (CO). Ia dapat menghasilkan kilasan kemuncak pada kelajuan enjin yang rendah.

Kelemahan
Bagi menampung tekanan tinggi dalam kebuk kebakaran, enjin diesel menggunakan struktur binaan yang padu. Hasilnya, ia lebih berat daripada enjin petrol. Pembakaran yang tidak begitu sempurna menghasilkan jelaga hitam semasa pelepasan asap ekzos. Kandungan sulfur dioksida (SO2) adalah lebih tinggi berbanding pelepasan enjin petrol. Selain itu, enjin diesel lebih bising disebabkan ketukan daripada tekanan tinggi dalam kebuk kebakaran.

Binaan enjin diesel generasi baru
Enjin diesel telah mengalami evolusi mengkagumkan. Terkini, kebanyakan menggunakan sistem suntikan terus rel sepunya (commonrail) serta sistem suntikan unit menggunakan pemancit baru menggabungkan wafer piezoelektrik tersusun memberikan kawalan lebih halus dan tajam semasa suntikan. Sistem pengecas turbo boleh laras serta kawalan automatik membolehkan lebih banyak udara memasuki enjin bergantung kepada beban enjin.

Teknologi ini meningkatkan prestasi serta penjimatan bahan api. Lengahan turbo juga dikurangkan memandangkan inertia turbo telah dipampaskan. Sistem Accelerometer PIlot Control(APC) menggunakan meter pemecut bagi mengesan tindak balas kebisingan dan gegaran enjin akan mengarahkan Electronic Controlling Unit(ECU) menyuntik jumlah bahan api yang minimum untuk menghasilkan pembakaran lebih senyap dan bersih tetapi mampu mengekalkan kuasa walaupun pada kelajuan melahu.

Enjin diesel Commonrail Turbo kini digunakan secara meluas termasuk kenderaan persendirian malah dimuatkan ke dalam kenderaan sedan. Pengguna bertuah kerana boleh memilih untuk menggunakan kereta berasaskan petrol atau diesel tanpa berkompromi dengan kuasa dan kelajuan. Dengan harga bahan api semulajadi yang tidak menentu, pengguna boleh menimbangkan untuk terus menggunakan kereta berenjin petrol atau berasaskan diesel yang menggunakan bahan api alternatif dan boleh diperbaharui.

No comments:

Post a Comment