09 August 2014

Umur Hari Raya

Ibu bapa pulang jumpa keluarga...
Kakak ketemu kekasih hati...
Abang berjumpa rakan lama...
Adik beraya tidak henti-henti...

Pada pendapat saya, Hari Raya sangat bermakna kepada semua umat Islam. Saya dahulu berpendapat Hari Raya bermakna kepada kanak-kanak sahaja kerana mendapat duit raya. Rupa-rupanya silap. Semakin kita melangkah peringkat umur seterusnya, semakin bermakna Hari Raya.

Duit raya sangat bermakna kepada kanak-kanak. Walaupun terdapat isu kanak-kanak mengeluh kerana mendapat duit yang sedikit, pengalaman itu menjadi pengajaran kepada kanak-kanak supaya bersyukur. Mereka akan menyedari selepas memasuki peringkat umur seterusnya iaitu peringkat umur saya sekarang. 

Apabila kanak-kanak menjadi remaja, mereka lebih mementingkan kawan-kawan. Jika kanak-kanak sering bertanding duit raya paling banyak, remaja akan bertanding rumah kawan yang paling banyak dilawati. Pada pendapat saya, mereka menganggap rumah kawan-kawan sebagai simbol kebanggaan kerana memiliki kawan yang ramai.

Selepas SPM, remaja akan menjadi belia. Pada masa ini para belia lebih kepada rakan rapat atau sahabat. Setiap rumah sahabat dilawati tidak begitu banyak. Namun begitu, setiap kali singgah, memang lama berborak dan bercerita. Ada yang bercerita pada zaman sekolah, nak masuk universiti, nak berkahwin dan sebagainya. Kadang-kadang ada buat perjumpaan semula(reunion) kawan-kawan sekolah dahulu.

Apabila belia meningkat dewasa, sudah bekerja, sudah berkeluarga, mereka lebih utamakan orang tua. Mereka membawa anak-anak berjumpa datuk dan nenek.  Anak-anak akan mengalami proses yang sama iaitu menerima duit raya. Akan menjadir remaja dan belia. Sebab itu dunia ini ibarat roda.

Tidak lama lagi, kita akan menjadi orang tua. Hanya menunggu kepulangan anak dan cucu. Duit menjadi kurang bermakna. Baik diberikan kepada kanak-kanak supaya menjadi lebih bermakna. Hati hanyalah anak-anak dan cucu-cucu. Pada masa ini kurang masa dan tenaga untuk berjumpa semula rakan-rakan seperti remaja. Sahabat rapat pun kalau masih ada di dunia semakin sukar bertemu.

Jadi janganlah sia-siakan Hari Raya...
Jika tiada aral melintang, pergilah rumah saudara, rakan-rakan dan sahabat
Jika tiada ombak besar datang, pulanglah ke rumah ibu bapa...

Jangan biarkan umur kita berlalu tanpa Hari Raya...


Markah

Markahku adalah sederhana,
Bukan markah gred yang direkodkan...
Bukan markah yang aku perlu kejarkan...
Bukan markah yang aku rasa kecewa atau bangga...

Markahku markah murid-murid,
Markah atas mata...
Markah dalam jiwa...
Markah luar dunia...

Markahku akan kutingkatkan supaya,
Pengajaranku diterima murid...
Didikanku diteladani murid...
Suaraku difahami murid...

Praktikum 2
2 Cemerlang
SK Jelapang Jaya

18 April 2014

Waktu Tidur Rasulullah


  1. Tidur selepas waktu Isyak dan bangun pada awal waktu sepertiga malam terakhir.
  2. Tidur sebentar selepas qiyamaullail sebelum azan Subuh.
  3. Tidak tidur antara waktu Subuh dengan Dhuha habis.
  4. Tidur sebentar sebentar antara waktu Dhuha dengan Zuhur.
  5. Tidak tidur dari Zuhur sehingga Isyak.

Sumber: 
Buku 'Mengapa Rasulullah Tidak Mudah Sakit'
Asadullah Al-Faruq

Mungkinkah Ditakdirkan

Sekali lagi dua kaki ini melangkah
Berlari sepi sua impi mengalah
Hari-hari jua diri menyalah...

Lumrah hati ingin berdua
Pernah sekali kita bersua
Berubah jati tak pernah jua...

Pada satu ketika aku baru dikenal nama
Pada satu masa aku diberi berita gembira

Pada satu siang kita bertekan-tekanan
Pada satu malam kita bercakap-cakapan

Dan semalam, kita berbual panjang......


07 April 2014

Anak Murid

Ini sahaja jam mereka
Ketemu ikatan yang tinggal tiada
Dari halaman tidak sebaya
Hadir ke sekolah penuh mesra
Di minda mahukan mata
Namun di mata mahukan gembira
Terdetik di hati tidak berasa
Kerana kosong matlamat tidak berpunca
Pada guru mereka meminta
Kerana kita penyambung ibu bapa
Pada baru sering merana
Kerana itulah lumrahnya
Yang datangnya daripada kita


Praktikum 1
3 Thiruvallular
SJK(T) Kg Simee

14 March 2014

Punca Asma

Punca sebenar terjadinya serangan asma, apabila terdapat perubahan di dalam saluran pernafasan. Perubahan yang dimaksudkan adalah inflamasi atau bengkak yang seterusnya mengakibatkan saluran pernafasan menguncup dan peka terhadap rangsangan luaran.

Sayang Anak Sayanglah Guru

Hari ini anakmu dapat membaca
Anakmu mengenal erti ketawa
Betul dan silap sentiasa menuju bersama
Walau tak mengerti huruf tetap terbuka

Sayangnya kau terhadap dia
Tapi mengapa kau menghukum mereka
Betapa sulitnya menyerap ke dalam jiwa
Kau singkir mereka yang tidak bahaya

Tahukah kau berpeluhnya walau satu ketika
Bukan seorang dua mereka menjaga
Kerana anak serupa tapi berbeza
Boleh kamu seperti mereka walau satu angka?

Maka janganlah tajamkan senjata
Semata kerana anakmu yang derhaka
Sedangkan kita semua insan biasa
Hanya yang Esa menentukan segala-galanya

02 March 2014

Telefon Kini

Alangkah tajamnya genggaman kecil ini
Telah kubawa bersama-sama nyawa
Lantas terus memotong gelisah
Walau saat-saat rintangan

Alangkah luasnya genggaman kecil ini

Telah kubawa bersama-sama hubungan
Lantas terus menyekat sepi
Walau jasad sedang bersendirian

Alangkah kuatnya genggaman kecil ini

Telah kuganti peneman hati
Lantas terus menghibur diri
Walau tanpa penyambung karan

Alangkah pantasnya genggaman kecil ini

Telah kucari alam sini dan sana
Lantas terus memandang bersahaja
Walau tiada kiri tiada kanan

Alangkah besarnya genggaman kecil ini

Telah kuguna berkali-kali
Lantas terus membuka minda
Walau tahu, tanya dan soalan