Hidup hanyalah menambah usia. Usia yang semakin
meningkat memanglah mematangkan kita. Walau bagaimanapun, setinggi manakah
tahap kematangan itu dapat dicapai jika pengalaman hidup kita cumalah ciptaan
dunia. Dari sekolah rendah hinggalah peringkat universiti, kita cuma mengejar
markah peperiksaan tanpa mempedulikan impian sebenar. Ibarat sebuah robot yang
mengikut arahan tuannya tanpa kenal erti lelah. Hidup akan lebih bermakna jika
kita mengikut haluan sendiri selagi tidak salah dalam Islam. Sebenarnya, aku
juga seorang mangsa dunia. Banyak impian yang tidak terlaksana semasa zaman
persekolahan dahulu. Namun, masa masih belum terlambat. Syukur aku tersedar
lalu aku akan cuba mencipta pengalaman sendiri, bukannya ciptaan dunia.
Alhamdulillah, kini aku dapat
tersenyum untuk satu pengalaman ini, Kembara
Kemboja. Makin jauh kamu berjalan,
makin tinggi pengalaman. Ya, memang betul. Setiap saat yang kita lalui
adalah pengalaman, cuma berbeza kualitinya. Bayangkan pada masa rombongan
Kemboja ini sedang berlangsung, masih ramai di luar sana yang tidak buat
apa-apa ataupun membuang masa. Adakah mereka akan mengingati saat pada masa
yang sama itu. Tidakkah mereka baru sahaja melepasi masa tanpa mendapat
apa-apa. Ibarat meredah hutan tanpa kutipan kayu api dan sumber makanan semasa
sesat. Sebab itu, aku akan berusaha untuk mengumpul pengalaman bermakna selagi
termampu.
Makin kuat kamu bersabar, makin rendah hati berdebar. Pengalaman
juga datang dari masalah. Bahkan pengalaman itu lebih bermakna apabila kita berjaya
menyelesaikannya dengan cara terbaik. Jika dulu, aku sering merungut apabila
ditimpa masalah. Kadang-kadang emosi terganggu lalu menyalahkan orang lain.
Kini, aku bersyukur jika ditimpa masalah. Bukannya cari dengan sengaja tetapi
masalah ini akan datang kepada orang yang sepatutnya. Allah S.W.T tidak akan
menguji hambanya jika tidak termampu menyelesaikannya. Justeru, setiap masalah
yang diuji, pasti ada penyelesaiannya. Syaratnya, kita mestilah yakin. Sama
seperti, peristiwa tertinggal kapal terbang, aku dan beberapa peserta rombongan
ke Kemboja ini sehinggakan memaksa kami melalui pelbagai rintangan. Pada
mulanya, aku tidak menjamin kami akan sampai ke Kemboja pada waktunya. Namun,
keyakinan dan kesabaran kami telah menemukan jalan iaitu melalui jalan darat.
Biarlah letih dahulu senyum lebar datang kemudian.
Makin peka kamu berwaspada, makin kurang masalah melanda. Memang
salah sendiri kerana tertinggal kapal terbang. Sikap kurang waspada walaupun
leka seketika pastinya mengundang masalah. Sepatutnya, aku perlu peka masa
kapal terbang berlepas agar persediaan awal dapat dilakukan. Aku akui aku ambil
mudah perkara ini. Begitu juga dengan kehidupan, jika tidak berwaspada
berbagai-bagai masalah menimpa. Kecuaian pemandu boleh membawa kemalangan dan
terburu-buru akan jadi kesilapan. Namun, sikap waspada tidak semestinya tidak
membawa kecelakaan. Orang beriman yang berwaspada akan tingkah lakunya tidak
mustahil boleh melakukan dosa. Justeru, apa yang boleh dilakukan kita
bertawakal kepada Allah S.W.T akan semua perkara. Bagi saya, perkataan tawakal
sangat melegakan diri, menenangkan hati dan mengawal emosi.
Makin matang kamu berfikir, makin banyak idea mengalir. Apabila
kita berbincang tentang sesuatu tajuk, pastinya banyak hujah-hujah yang
diungkapkan. Bagaimana kita tahu maklumat tajuk itu? Tentulah dari pengalaman,
pembacaan atau rakan-rakan. Tetapi, cukup padatkah hujah itu? Pengalaman,
pembacaan atau rakan-rakan juga datang dari manusia. Manusia yang mempunyai
otak, yang boleh berfikir. Jadi apa bezanya otak kita dengan mereka? Justeru,
tidak salah kita memberikan pendapat sendiri menggunakan buah fikiran.
Perkaitan hujah di atas dengan rombongan ini ialah tentang perjalanan ke
Kemboja. Tidak semestinya kapal terbang sahaja yang boleh membawa kita ke
Kemboja. Pada mulanya, aku berfikir seperti itu. Setelah kami berfikir secara
matang, semakin banyak idea timbul. Akhirnya kami melalui jalan darat yang jauh
lagi menyeronokkan berbanding kapal terbang. Pemandangan kapal terbang cumalah
awan-awanan sahaja berbanding warna-warni jalan darat.
Makin sukar kamu menempuh, makin senang jiwa utuh. Pernah atau
tidak anda mengalami kesusahan sehingga kamu merasakan kesusahan ini adalah
paling sukar dalam kehidupan manusia. Contohnya mempunyai keluarga yang sentiasa
bertikam lidah. Kamu sentiasa bersedih dan mengalami tekanan. Sedarlah, jika
berlaku sedemikian, kamu sepatutnya bersyukur. Yang pertama, kamu mempunyai
keluarga. Berapa ramai manusia di dunia tidak mempunyai keluarga dan inginkan
sebuah keluarga. Kedua, dapat memberi pengajaran kepada supaya bertolak ansur
dan bertimbang rasa apabila kamu membina keluarga pada masa hadapan. Kesan ini
menyebabkan jiwa kamu semakin utuh. Kamu tahu yang mana benar dan salah. Namun,
itu tidak bermakna kamu membiarkan sahaja keluarga berada dalam porak peranda.
Tegahlah dengan hati dan minda yang hikmah. Begitu juga dengan rombongan aku
ini setelah menjelajah ke Kemboja. Aku dapat merasakan kesusahan yang dihadapi
oleh segelintir penduduk Islam di sana. Keluarga salah seorang di sana terpaksa
menjual lembu-lembu dan tanah bagi memastikan anak mereka dapat melanjutkan
pelajaran dengan berjaya. Kita di Malaysia, majoriti siswa dan siswi dapat
dilahirkan dengan segulung Ijazah tanpa bersusah-payah dengan kewangan.
Makin teguh kamu berusaha, makin dekat akan berjaya. Kesusahan
segelintir penduduk di Kemboja tidak pernah dirasai aku. Aku yakin mereka
sangat berusaha untuk mendapatkan pendidikan yang baik. Allah S.W.T Maha Adil.
Justeru, mereka pasti mendapat balasan baik setimpal dengan usaha untuk
berjaya. Semasa aku berada pada zaman persekolahan dahulu, ramai rakan-rakanku
langsung tidak mengambil berat tentang pendidikan. Mereka datang ke sekolah
tanpa niat dan impian. Jika ada cumalah perkara yang negatif. Hadir ke sekolah
semata-mata kerana kegiatan tidak bermoral seperti buli. Tidakkah mereka tahu
apa ertinya sebuah kehidupan. Kehidupan yang dilalui tanpa matlamat sangatlah
merugikan. Mereka hanya berjalan, berlari bersama masa tanpa memegang, memikul
atau membawa apa-apa. Justeru, sebagai seorang bakal guru, aku akan memastikan
murid-murid tahu dan capai impian baik mereka. Walaupun tidak berjaya dalam
akademik, mereka tidak akan menjadi sampah masyarakat. Kejayaan di dunia bukan
bergantung kepada akademik semata-mata. Apa yang paling penting pendirian dan
jati diri positif. Usaha memerlukan perkara ini untuk hampir dengan kejayaan.
Makin lama kamu bersama, makin erat antara kita. Beberapa hari
peserta rombongan Kemboja bersama-sama mengharungi ombak lautan dan angin taufan,
akhirnya tiba semula ke Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh. Maknanya, kami
pergi dan tiba bersama. Aku perasan, hari kami bertolak, komunikasi dan erat
persaudaraan memang kurang terutamanya antara pensyarah dan pelatih. Namun
semuanya berubah kerana kami sebenarnya satu keluarga bahagia. Perkara ini
terbukti dengan senyuman setiap orang semasa menjejakkan kaki ke bumi IPG
selepas rombongan ini. Dunia penuh dengan cabaran dan dugaan. Namun, kita tidak
boleh melaluinya seorang diri. Betapa kuatnya fizikal, hebatnya pemikiran dan
kentalnya jiwa, kita memerlukan antara satu sama lain. Aku bersyukur kerana
dapat mengenali lebih ramai sahabat yang sangat hebat.
No comments:
Post a Comment