31 July 2012

Doa Keampunan Hadiah Terbaik Hari Bapa

Oleh: Ramli Abdul Halim

Pada 13 Mei rakyat negara ini menyambut Hari Ibu serentak dengan kebanyakan negara di dunia. Ada beberapa negara menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa yang berbeza tarikhnya. Misalnya, Nicaragua, Poland dan Uganda menyambutnya Hari Bapa pada 23 Jun, Vietnam (30 Julai), Uruguay (Ahad ketiabulan Julai), Republik Dominican (Ahad terakhir bulan Julai), Iran (23 Mordad yakni bulan kelima kalendar Iran), Brazil (Ahad kedua Ogos), Taiwan (8 Ogos), Australia dan New Zealand (Ahad pertama bulan September), Estonia, Finland, Norway, Sweden (Ahad kedua bulan November) dan Thai (5 Disember).

Terdapat banyak versi sambutan Hari Bapa. Dalam satu versi, sambutan ini dikatakan bermula di Amerika Syarikat dengan idea dicetuskan seorang wanita bernama Sonora Dodd dari Daerah Spokane. Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, Wiliam Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan isteri dan membesarkan 6 orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil. Hari Bapa pertama disambut pada 19 Jun 1910 mengambil sempena tarikh kelahiran Wiliam Smart.

Sejak 1972, Hari Bapa disambut setiap tahun apabila bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yang menjadikan hari tersebut dicatat dalam kalendar dan turut disambut oleh hampir keseluruhan negara kecuali negara-negara Arab, China, Afghanistan, Khazastan dan Sepanyol.

Hari Bapa merupakan satu hari membuka peluang kepada anak-anak memberi penghormatan terhadap para bapa sebagaimana yang diberikan kepada kaum ibu. Lazimnya melibatkan pemberian hadiah kepada para bapa oleh anak-anak di samping diadakan kegiatan kekeluargaan.

Sama ada selari atau bertentangan dengan Islam sukar untuk dipastikan sebagaimana sukarnya untuk memastikan sama ada Hari Ibu boleh disambut atau tidak oleh umat Islam kerana kedua-duanya dimulakan oleh mereka yang bukan beragama Islam. Pastinya, tujuan dan matlamat pengasasnya tidak diperkirakan dari sudut hukum. Apa pun peranan bapa sangat penting dalam mengemudi keluarga, malah bertanggungjawab memelihara diri dan keluarga dari bakaran api neraka sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu(berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." - (At-Tahrim : 6).

Firman Allah itu menegaskan tentang akibat melanggar perintah Allah. Setiap bapa wajib mengetahui seterusnya mendidik anak, isteri dan keluarga yang dikasihi dengan ajaran dan peraturan yang digariskan oleh Islam. Di sisi Islam tanggungjawab bapa memelihara anak isteri amat besar hingga dosa anak dan isteri berada bawah tanggungjawab bapa.

Falsafah Pendidikan Islam sebenarnya menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Mulanya dari dalam kandungan hingga lahir dan menjadi dewasa.

Sebelum anak dilahirkan, bapa perlu menyediakan tempat dan persekitaran yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya. Hal ini bererti dunia pertama anak-anak selepas dilahirkan ialah rumah ibu bapa itu sendiri. Bagi mencapai kesempurnaan pendidikan anak, bapa dengan kerjasama ibu perlu mewujudkan suasana yang harmoni dan bercirikan keIslaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih dahulu.

Jika pasangan suami isteri menghayati nilai-nilai keIslaman dalam rumah tangganya, maka mudahlah anak dididik dengan benih Islam. Atas dasar itulah Rasulullah SAW mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih isteri yang mempunyai kesungguhan dalam penghayatan agama, bukan kerana paras rupa, keturunan atau harta semata-mata sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Wanita dikahwini kerana 4 perkara, iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana lebih menguntungkan kamu(lebih utama)" - Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud.

Sekiranya suami yang menjadi bapa kepada anak-anak dan ketua keluarga gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga,sukarlah baginya mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam. Rumah, bapa dan keluarga mesti dijadikan institusi penting dalam pembangunan anak cemerlang.

Berjaya atau tidaknya seorang anak itu menjadi insan kamil bergantung kepada didikan ibu bapa. Bapa wajib menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan pendidikan. Bapa juga berperanan dalam pembentukan akhlak anak-anak. Al-Quran sendiri telah mengutarakan kisah Luqman Al Hakim, seorang bapa yang menasihati anaknya supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah, tidak menyekutukanNya, berbakti kepada ibu bapa, menangkis arahan yang bercanggah dengan syariah, menghayati balasan baik dan buruk, tunaikan solat, menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran, sentiasa bersabar dan jangan sekali-kali bersikap sombong.

Ayat dalam surah Al Luqman ini sering kita baca tetapi berapa ramaikan bapa yang mengambil manfaat dan meniru perbuatan seorang bapa bernama Luqman ini?

Sudah tentu walaupun Hari Bapa dimulakan dengan individu bukan Islam, merayakannya terutama oleh anak-anak pasti akan mendapat pahala seandainya disertakan dengan doa memohon agar Allah mengampuni dosa bapa kerana kecetekan ilmu amal dengan anak-anak yang lebih berilmu mentarbiyah bapa dan ibu yang tidak mendalam ilmunya secara berhikmah supaya tahap kualiti iman dan takwa mereka semakin meningkat.

Berdoa agar Allah mengampuni dosa bapa sempena Hari Bapa dan tarbiyah supaya tahap keimanan dan ketakwaan bapa semakin mantap pada hakikatnya jauh lebih bernilai daripada hadiah kereta baru atau diraikan dengan majlis makan penuh kemewahan.

Rujukan:
Milenia Muslim
Julai 2012

No comments:

Post a Comment