29 July 2012

Pemakanan Seimbang

Pelbagai jenis masakan dan juadah dihidangkan dalam kehidupan seharian bagi memenuhi keperluan jasmani dan membekalkan tenaga yang secukupnya dalam melakukan aktiviti seharian.

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quranul Karim:

"Wahai manusia, makanlan apa-apa di atas dunia ini dari makanan yang halal dan baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya dia adalah musuhmu yang nyata."

Makanan yang kita makan sehari-hari adalah merupakan salah satu ibadat terhadap Allah apabila kita meniatkannya untuk membolehkan kita melakukan ibadat kepadaNya. Oleh itu, kita mestilah memilih makanan yang kita makan dari jenis makanan yang berkhasiat dan baik bagi membolehkan kita mendapat manfaat yang optimum daripada apa yang dimakan.

Secara umumnya kaedah pemakanan seimbang adalah berdasarkan teori piramid makanan dibawah:

Aras Pertama:
Lemak, minyak dan gula. Hanya sedikit sahaja makanan daripada kumpulan ini yang perlu dimakan.

Aras Kedua:
Susu, keju dan dadih. Kaya dengan protein, kalsium dan biasanya diperkaya dengan vitamin D. Pilihlah hasil tenusu rendah lemak.
Satu sajian hasil tenusu:
  1. 1 gelas susu
  2. 1/2 cawan dadih rendah lemak
  3. 1 keping keju
Aras Ketiga:
Daging, ayam, ikan dan kekacang. Kaya dengan protein, vitamin B, zat besi, zink dan magnesium. Pilihlah daging rendah lemak dan buang semua lemak yang kelihatan pada daging dan ayam. Sekali sekala tukarkan penggunaan daging dengan kekacang, kerana lebih rendah lemak dan kaya dengan serat. Contohnya tauhu dan tempe, kacang dhal dan kacang merah.
Satu sajian daging, ayam, ikan dan kekacang:
  1. 1 ketul peha ayam saiz sederhana
  2. 1 ekor ikan kembong saiz sederhana
  3. 2 ketul daging tanpa lemak saiz kotak mancis
  4. 5 sudu makan ikan bilis tanpa kepala
  5. 2 biji telur bersaiz sederhana
  6. 2 keping tempe
  7. 2 keping taukua
  8. 4 sudu makan mentega kacang
Aras Keempat:
Sayur-sayuran dan buah-buahan. Kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Makanlah dengan banyak dan pelbagaikan pilihan dalam hidangan.
Satu sajian sayur-sayuran:
  1. 1/2 cawan sayur berdaun hijau bersama batangnya(dimasak)
  2. 1/2 cawan sayuran buah berumbi, seperti terung,tomato(dimasak)
Satu sajian buah-buahan:
  1. 1/2 biji jambu batu bersaiz sederhana
  2. 1 biji oren, pir atau epal saiz kecil
  3. 1 biji pisang saiz sederhana
  4. 1 hiri betik, nanas atau tembikai
Aras Kelima:
Bijiran, hasil bijiran dan ubi-ubian. Mengandungi kumpulan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks serta merupakan sumber tenaga utama. Makanan ini juga membekalkan vitamin, mineral, serat dan sedikit protein. Mestilah disediakan paling banyak dalam setiap hidangan. Contohnya nasi, bubur, mi, mihun, roti, pasta, bijiran sarapan, capati, thosai, biskut, ubi keledek, keladi dan kentang. Pilihlah bijiran atau hasil bijiran mil penuh seperti beras perang, tepung gandum mil penuh atau tepung atta, dan roti atau biskut mil penuh.
Satu sajian bijiran dan ubi-ubian:
  1. 1 keping roti mil penuh
  2. 1/2 cawan nasi
  3. 1/2 cawan bihun/mi/pasta
  4. 1/2 keping capati saiz kecil
  5. 1 cawan bubur nasi kosong
  6. 1/2 cawan bijiran sarapan
  7. 1 biji kentang saiz sederhana
  8. 3 keping biskut kraker kosong

Rujukan:
57 Penyakit Berbahaya & Rawatannya
Dr. Muhammad Dhani
Al-Hidayah Publications

No comments:

Post a Comment