24 August 2011

Memuliakan Ibu Bapa

Allah s.w.t. meletakkan darjat ibu bapa sangat istimewa dalam kehidupan seorang anak. Jika kita merendahkan dan menghina mereka, kita seakan-akan memperlekehkan suruhan Allah s.w.t.

Jagalah Seluruh Perbuatan daripada Isyarat Penghinaan
Sebagai anak, seharusnya kita tidak patut, sama ada dari segi kata-kata ataupun perbuatan, merendah atau menghina ibu bapa kita walau setinggi mana pun pangkat dan jawatan kita.

Sebagai contoh, seorang anak yang kaya raya tetapi tidak mengenang budi sanggup berkata kepada ibu dan bapanya bahawa tanpa kemewahan yang dimilikinya sudah pasti kedua-dua ibu bapanya akan merempat.

Penghinaan itu bukan sekadar dengan kata-kata, termasuk juga memandang jelik terhadap mereka, menjuih bibir dan memalingkan muka, perlakuan itu juga dianggap penghinaan.

Anak yang tidak pandai berterima kasih kepada ibu bapanya sentiasa dihimpit rasa tidak puas hati dengan ibu bapanya itu. Perasaan ini akan mengundang perbuatan yang lebih buruk berbentuk penghinaan. Segaris luka di hati ibu bapa kerana penghinaan itu, jika tidak diampunkan, nerakalah selayaknya bagi si anak. Nauzubillah

Allah s.w.t. berfirman bermaksud: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sehayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri." (Surah al-Nisa' 4:36)

Jangan Membalas dan Menghukum Kesilapan Mereka
Mungkin ada kekurangan dalam kalangan anak-anak yang dibesarkan dalam suasana ibu bapanya sering dicaci, menghina dan memaki dirinya. Apabila dia membesar dalam didikan sebegitu, dia berasa wajar bagi dirinya membalas perbuatan ibu bapanya ketika dia kecil. Jiwanya memberontak.

Dia bukan inginkan kejahatan itu ada pada dirinya namun apabila didorong oleh rasa tidak puas hati yang meluap-luap, dia turut menghembur penghinaan pada ibu bapa. Sebagai anak misali, maafkanlah kesilapan ibu bapa. Kita doakan keampunan dan hidayah untuk mereka. Anggaplah bahawa jika ada satu kesilapan mereka, kebaikan mereka 1000 lebih banyak.

Mungkin mereka kurang ilmu ketika mendidik atau kurang batas kesabaran. Namun, jauh di sudut hati, mereka tetap mengimpikan kebaikan untuk kita di dunia dan di akhirat. Sebagaimana buruk pun sikap dan layanan ibu bapa kepada kita, kita tidak perlu mencontohinya. Hiasi diri kita dengan sifat mulia. Teruskan memuliakan dan usah sekali-kali menghina mereka.

Mungkin dengan akhlak kita itu, mereka akan menyesali sikap mereka selama ini lantas berubah menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah s.w.t. Kebaikan ini akhirnya akan menghantar kita dan ibu bapa kita bertemu lagi di taman syurga. Indahnya!

Kenangi Perit Jerih Ibu Bapa
Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungkan dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusukan selaman dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu." (Surah Luqman 31:14)

Ayat ini seolah-olah mengingatkan kita bahawa kita wajib bersyukur kepada Allah dan kepada kedua-dua ibu bapa kita kerana jasa dan pengorbanan mereka terlalu besar. Apabila kita tidak bersyukur, Allah mengingatkan kepada kita akan dikembalikan kepada-Nya. Setelah kembali kepada Allah, kita bakal disoal satu persatu tentang amalan yang telah dilakukan sepanjang hayat terutamanya kepada ibu bapa.

Sentiasa Berterima Kasih kepada Ibu Bapa
Pengorbanan ibu bapa tidak terhitung banyaknya. Ringan-ringankanlah mulut mengucapkan terima kasih kepada mereka. Sebagai anak, kita harus ingat bahawa ucapan terima kasih bukan sekadar di mulut sahaja tetapi ucapan terima kasih yang terbaik adalah dengan membalas segala jasa dan budi kedua-dua ibu bapa.

Jika ibu bapa sudah tua, tunjukkan rasa terima kasih kita dengan mengajak mereka tinggal bersama dan melayani mereka sebaik-baiknya. Jika mereka tidak mahu tinggal bersama, kita sebagai anak harus menyediakan rumah yang lengkap dan selesa dengan segala kemudahan mereka.

Satu ketika dahulu, mereka yang berusaha menyediakan segala-galanya buat kita. Jadi, setelah kita dewasa, tiada salahnya jika kita berbuat begitu kepada ibu bapa.

Wujud juga sesetengah anak-anak yang mahu membawa ibu bapanya tinggal bersama tetapi apalah erti kebahagian itu jika dalam masa yang sama mereka dilayani dengan penghinaan.

Contoh penghinaan dengan kata-kata: "Mak, marilah ikut saya. Saya malulah tinggal di rumah buruk ini. Nanti apa pula kata orang. Saya ni berpangkat besar."

Betapa terhirisnya hati ibu bapa apabila mendengar anaknya berkata begitu. Perbuatan ini menunjukkan anak tersebut sebenarnya tidak ikhlas dan hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada masyarakat bahawa dia kononya berbuat baik kepada ibu bapa.

Amal yang tidak ikhlas tiada nilai di sisi Allah biarpun satu dunia memujinya. Sebagai anak, kita harus ingat bahawa ucapan terima kasih yang terbaik adalah dengan membalas segala jasa dan budi kedua-dua ibu bapa. Bukan harta yang mereka mahukan setiap bulan, tetapi kepulangan dan layanan mesra anak cucu sudah cukup untuk membuktikan kasih sayang anak-anak.

Larangan Menghina
Allah dan Rasul-Nya melarang seseorang menghina sehingga menjatuhkan martabat seorang ibu yang ditinggikan oleh Allah. Malah, dari sudut nilai kemanusiaan sekalipun, tiada manusia yang sihat akalnya boleh menerima perbuatan menghina ibu bapa. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Reda Allah adalah pada keredaan Allah dan kemurkaan Allah pada kemurkaan ibu bapa." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Mohon Kemaafan Jika Terlanjur Menghina
Andai kita pernah menghina ibu bapa kita, masih belum terlewat untuk kita memohon ampun dan maaf daripada kedua-duanya sementara mereka masih hidup. Tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak sempat memohon ampun? Sudah pastilah akan menyesal sepanjang hayat.

Walaubagaimanapun, jangan berputus asa memohon ampun daripada Allah s.w.t. Semoga Dia bersimpati dan menerima taubat kita. Sebaik-baiknya sentiasa memohon kemaafan daripada ibu bapa kerana kesalahan yang kita lakukan mungkin dalam sedar atau tidak, dalam sengaja atau tidak disengajakan. Kita tidak tahu hati mereka mungkin ada menyimpan kesedihan terhadap mana-mana perlakuan kita. Apabila ia tidak diluahkan, kesedihan itu membengkak sendiri. Oleh itu, amalkan akhlah kera[ bersalaman dan memohon maaf daripada kedua-duanya, sama ada kita membuat kesalahan atau tidak.

Jika masih tinggal bersama mereka, mohon maaf setiap kali selepas solat berjemaah ataupun sebelum tidur. Jika tinggal berasingan, mohon maaf setiap kali menelefon mereka sebelum menutup perbualan.

No comments:

Post a Comment