19 September 2011

Tips Keselamatan Semasa Kebakaran

Apabila anda berusaha menyelamatkan diri semasa kebakaran, andalah perlu bertindak dengan betul untuk menyelamatkan nyawa anda dan keluarga. Berikut adalah langkah yang perlu diambil untuk tujuan tersebut.

 Menutup Pintu
Sesetengah ibu bapa lebih suka membiarkan pintu bilik tidur anaknya terbuka semasa anaknya tidur pada waktu malam. Alasannya agar mereka mudah mengawasi dan dapat mendengar suara anak mereka. Pintu yag terbuka akan mempercepatkan api, asap dan haba merebak ke dalam bilik tersebut sekiranya berlaku kebakaran. Oleh itu adalah digalakkan supaya menutup pintu semua bilik agar anda mempunyai lebih masa untuk menyelamatkan diri.

Rasai Kepanasan Pintu Sebelum Dibuka
Semasa membuka pintu di ruang yang terbakar, anda terdedah kepada bahaya haba, asap dan lidah api yang boleh mencederakan.

Jika terperangkap di dalam bilik semasa kebakaran, sebeluam membuka pintu, anda hendaklah merasai kehangatan daun pintu, tombol dan bingkai pintu dengan menggunakan belakang tangan. Jika terasa panas, jangan buka pintu dan carilah jalan keluar alternatif.

Sekiranya daun pintu tersebut tidak panas, anda hendaklah melutut dan melekapkan bahu ke pintu terlebih dahulu sebelum membuka pintu secara perlahan-lahan dan berhati-hati. Tindakan ini perlu diambil bagi mengelakkan serbuan lidah api dan asap yang biasanya memenuhi bahagian atas ruang.

Jika haba dan asap mula memasuki bilik, tutup pintu rapat-rapat dan tutup semua ruang atau lubang di bawah pintu dengan menggunakan 
tuala, cadar, selimut dan apa sahaja yang terdapat di dalam bilik tersebut.

Menyelamatkan Diri Melalui Tingkap
Sekiranya laluan utama terhalang oleh api dan asap, anda boleh berusaha menyelamatkan diri melalui tingkap.

Sebelum membuka tingkap, pastikan pintu bilik tertutup rapat bagi mengelakkan api dari merebak. Sekiranya anda berada di tingkat satu, cuba turun dengan cara yang selamat bagi mengelakkan kecederaan. Keluarkan kaki dan cuba rendahkan diri lalu keluar melaui tingkap secara membelakang. Bergayut seketika pada sisi tingkap dan kemudian terjun.

Anak-anak boleh dikeluarkan dengan cara menghulurkan mereka ke bawah sekiranya ada orang yang membantu. Jika tiada, cuba turunkan anak ke paras bawah sejauh yang mungkin dengan berhati-hati. Namun, jangan pula anda terjun dahulu meninggalkan anak-anak dengan anggapan mereka akan mengikut anda. Jika mereka enggan terjun tindakan susulan sudah terlewat.

Apa Yang Patut Dibuat Sekiranya Anda Terperangkap
Sekiranya anda berada di paras melebihi tingkat satu, anda tidak boleh menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap kecuali turun dengan menggunakan tangga, melalui beranda, pokok, garaj kereta ataupun tunggu sehingga ketibaan anggota Bomba untuk menyelamatkan anda.

Sekiranya tingkap boleh dibuka, buka sedikit di bahagian atas dan bahagian bawah tingkap. Dengan berbuat demikian udara bersih akan masuk melalui bawah dan asap akan keluar melalui bahagian atas yang telah dibuka.

Tutup ruang-ruang di bawah pintu dengan menggunakan cadar, selimut, tuala dan sebagainya bagi mengelakkan asap masuk ke ruang bilik. Jika ada telefon di dalam bilik. Jika ada telefon di dalam bilik, segeralah hubungi Bomba atau jiran terdekat. Maklumkan kedudukan anda untuk membolehkan tugas menyelamat dilakukan segera. Beri isyarat dengan berdiri berhampiran tingkap dan suluh dengan lampu picit, atau kibarkan kain berwarna putih/terang agar pasukan penyelamat dapat mengesan kedudukan anda.

Merangkak Di Bawah Asap
Semasa kebakaran, udara panas dan asap akan memenuhi ruang atas dan gas beracun akan turun ke lantai.

Udara yang bersih akan berada di zon selamat untuk bernafas iaitu satu hingga dua kaki (30cm hingga 60 cm) dari paras lantai.

Semasa berusaha menyelamatkan diri, jika laluan utama telah dipenuhi asap, cuba cari laluan lain. Sekiranya tiada pilihan lain, ikut laluan utama dengan cara merangkak dan pastikan kepala berada di zon selamat.

Sekiranya Pakaian Anda Terbakar
Jika pakaian anda terbakar, berhenti dan jangan lari supaya tidak memarakkan api itu. Rebahkan diri, tutup muka dengan kedua belah tangan dan berguling di atas lantai bagi memadamkannya.

Anak-anak anda perlu tahu dan selalu dilatih cara tersebut.

Jika anda melihat orang lain terbakar, bantulah mereka. Sekiranya mereka tidak merebahkan diri, anda hendaklah merebahkan mereka atau selimutkan dengan kain bebar(selimut) atau guni basah bagi memadamkan kebakaran tersebut.

Bantuan Kecemasan Bagi Kecederaan Akibat Kebakaran
Tubuh yang melecur disebabkan kebakaran perlulah diberi rawatan segera. Jangan sapukan minyak urut, mentega, kicap dan sebagainya kerana ini akan memburukkan lagi kecederaan itu.

Melecur
Melecur mempunyai 3 tahap iaitu :
  1. Melecur Darjah Pertama
    • Melecur sedikit, melibatkan kebakaran kulit di bahagian luar sahaja.
  2. Melecur Darjah Kedua
    • Kelecuran kulit(blistered skin) yang serius dan memerlukan rawatan segera.
  3. Melecur Darjah Ketiga
    • Kelecuran yang lebih parah, melibatkan tisu-tisu di dalam badan yang memerlukan rawatan kecemasan dari pegawai perubatan.
Rawatan Awal
Untuk melecur darjah pertama dan kedua, sejukkan bahagian melecur dengan mengalirkan air selama 10-15 minit. Langkah ini akan menurunkan suhu permukaan kulit, mengelakkan melecur lebih besar lebih besar dan mengurangkan kesakitan. Jangan gunakan ais!

Untuk melecur ketiga, tutup bahagian yang melecur dengan menggunakan kain yang tidak berbulu. Tunggu sehingga bantuan perubatan sampai. Baringkan mangsa dan jangan buka pakaiannya kerana ia mungkin melekat pada bahagian kulit yang melecur.

No comments:

Post a Comment