05 December 2011

Rambutan Kaya Gula Rendah Kalori

Rambutan atau nama botaninya Nephelium Lappaceum adalah sejenis buah-buahan tropika yang dipercayai berasal dari Indonesia di Asia Tenggara. Rambutan juga turut ditanam di banyak tempat di kawasan tropika termasuklah Malaysia, Filipina, Thailand, Kemboja, India, Sri Lanka, Ecuador, Afrika, kepulauan Caribbean, Amerika Tengah dan Australia.

Rambutan biasanya sedap dimakan mentah. Namun begitu, buahnya juga boleh diproses dan ditinkan, atau dijadikan salad. Bukan sahaja isinya, bijinya juga boleh digunakan. Di Filipina, biji buah tempatan biasanya dipanggang dan dihidangkan sebagai hidangan sampingan.

Buah rambutan mengandungi karbohidrat, protein, lemak, fosforus, besi, kalsium, vitamin C, vitamin A atau beta karoena, kalsium, magnesium, sodium, zink, niasin dan serat.

Buahnya juga kaya dengan gula terutamanya sukrosa dan fukrosa, tetapi rendah kalorinya, iaitu 60 kalori sebiji buah. Kulit rambutan mengandungi tannin dan buahnya mengandungi saponin. Bijinya mengandungi lemak dan polifenol. Daunnya mengandungi tannin dan saponin. Kulit batangnya mengandungi tannin, saponin, flavioda, pektik dan besi.

Walaupun warna biasa buah rambutan berwarna merah, tetapi terdapat juga buah berwarna kuning. Kulit rambutan yang berbulu perlu dikopek untuk mendapatkan buahnya yang berwarna keputihan. Rasa buah ini amat manis, walaupun terdapat juga jenis yang masam.

Rambutan adalah satu tanaman serbaguna. Semua bahagian dari tanaman iaitu kulit,daun, biji, sehinggalah akar dikatakan mampu digunakan sebagai ubat. Bijinya yang berwarna coklat kaya dengan lemak dan minyak (biasanya asid oleik dan asid eicosanoik) yang bernilai kepada industri, dan digunakan dalam masakan dan penghasilan sabun. Akar rambutan, kulit dan daunnya pula mempunyai pelbagai kegunaan dalam penghasilan pewarna dan ubat.

Dikatakan biji rambutan mampu digunakan sebagai ramuan bagi mengurangkan lemak badan dan melembutkan kulit muka. Caranya adalah dengan menghancurkan biji ini dan kemudiannya dicampurkan dengan makanan lain sebelum dimakan.

Daun pokok rambutan dikatakan mampu digunakan untuk penjagaan rambut dan mengatasi masalah rambut beruban. Caranya adalah dengan mengambil beberapa helai daun dan tumbuk sehingga hancur. Tambah sedikit air dan kacau sehingga rata. Tapis ramuan ini dan kemudian ambil airnya dan sapu kepada kulit kepala. Lakukan setiap hari bagi mendapatkan keputusannya.

Fungsi Terapeutik
Kulit buah rambutan pula boleh digunakan untuk tujuan merawat disenteri. Caranya adalah memotong kulit menjadi kecil-kecil. Kemudian tambahkan tiga gelas air dan rebus sehingga menjadi separuh kering. Selepas air ini sejuk, tapis dan minum sebanyak tiga suku gelas air dua kali sehari.

Biji rambutan yang telah dikeringkan kemudiannya ditumbuk hancur, dicampurkan pula dengan air dikatakan boleh digunakan sebagai ubat bagi merawat diabetes. Penghidup diabetes boleh meminum air ramuan ini sebanyak 1 hingga 2 kali sehari.

Kulit rambutan yang telah dikeringkan pula dikatakan berguna sebagai ubat menyembuhkan demam. Caranya adalah dengan  merebus kulit di dalam air mendidih selama 15 minit. Selepas airnya sejuk, tapis dan kemudian minum sebanyak 3 kali sehari.

Selain memiliki kebaikan dari segi perubatan, rambutan juga turut memiliki fungsi terapeutik. Pengambilan buah rambutan dikatakan mampu membantu  membunuh parasit dalam usus dan juga mampu melegakan gejala-gejala diarea.

Walaupun banyak kebaikan yang diberikan oleh setiap bahagian pokok rambutan kepada kesihatan manusia, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.

4 comments:

  1. tq kerana memaparkan info yang sgt baik tentang rambutan. Selama ni, tahu makan buah je...yg lain buang. Rupa-rupanya yang dibuang itu umpama permata yang tersembunyi...

    ReplyDelete
  2. best.. baru habiskan 10biji rambutan

    ReplyDelete