09 August 2014

Umur Hari Raya

Ibu bapa pulang jumpa keluarga...
Kakak ketemu kekasih hati...
Abang berjumpa rakan lama...
Adik beraya tidak henti-henti...

Pada pendapat saya, Hari Raya sangat bermakna kepada semua umat Islam. Saya dahulu berpendapat Hari Raya bermakna kepada kanak-kanak sahaja kerana mendapat duit raya. Rupa-rupanya silap. Semakin kita melangkah peringkat umur seterusnya, semakin bermakna Hari Raya.

Duit raya sangat bermakna kepada kanak-kanak. Walaupun terdapat isu kanak-kanak mengeluh kerana mendapat duit yang sedikit, pengalaman itu menjadi pengajaran kepada kanak-kanak supaya bersyukur. Mereka akan menyedari selepas memasuki peringkat umur seterusnya iaitu peringkat umur saya sekarang. 

Apabila kanak-kanak menjadi remaja, mereka lebih mementingkan kawan-kawan. Jika kanak-kanak sering bertanding duit raya paling banyak, remaja akan bertanding rumah kawan yang paling banyak dilawati. Pada pendapat saya, mereka menganggap rumah kawan-kawan sebagai simbol kebanggaan kerana memiliki kawan yang ramai.

Selepas SPM, remaja akan menjadi belia. Pada masa ini para belia lebih kepada rakan rapat atau sahabat. Setiap rumah sahabat dilawati tidak begitu banyak. Namun begitu, setiap kali singgah, memang lama berborak dan bercerita. Ada yang bercerita pada zaman sekolah, nak masuk universiti, nak berkahwin dan sebagainya. Kadang-kadang ada buat perjumpaan semula(reunion) kawan-kawan sekolah dahulu.

Apabila belia meningkat dewasa, sudah bekerja, sudah berkeluarga, mereka lebih utamakan orang tua. Mereka membawa anak-anak berjumpa datuk dan nenek.  Anak-anak akan mengalami proses yang sama iaitu menerima duit raya. Akan menjadir remaja dan belia. Sebab itu dunia ini ibarat roda.

Tidak lama lagi, kita akan menjadi orang tua. Hanya menunggu kepulangan anak dan cucu. Duit menjadi kurang bermakna. Baik diberikan kepada kanak-kanak supaya menjadi lebih bermakna. Hati hanyalah anak-anak dan cucu-cucu. Pada masa ini kurang masa dan tenaga untuk berjumpa semula rakan-rakan seperti remaja. Sahabat rapat pun kalau masih ada di dunia semakin sukar bertemu.

Jadi janganlah sia-siakan Hari Raya...
Jika tiada aral melintang, pergilah rumah saudara, rakan-rakan dan sahabat
Jika tiada ombak besar datang, pulanglah ke rumah ibu bapa...

Jangan biarkan umur kita berlalu tanpa Hari Raya...


Markah

Markahku adalah sederhana,
Bukan markah gred yang direkodkan...
Bukan markah yang aku perlu kejarkan...
Bukan markah yang aku rasa kecewa atau bangga...

Markahku markah murid-murid,
Markah atas mata...
Markah dalam jiwa...
Markah luar dunia...

Markahku akan kutingkatkan supaya,
Pengajaranku diterima murid...
Didikanku diteladani murid...
Suaraku difahami murid...

Praktikum 2
2 Cemerlang
SK Jelapang Jaya